Technology

Bank Islam untung bersih RM382.2 juta bagi tempoh 9 bulan

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd mencatatkan prestasi kukuh bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2025 dengan keuntungan bersih sebanyak RM382.2 juta, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar. Ia turut melakar kejayaan penting apabila jumlah aset keseluruhan meningkat kepada RM102.7 bilion setakat akhir September 2025, melepasi sasaran pelan strategik...

Bank Islam untung bersih RM382.2 juta bagi tempoh 9 bulan

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd mencatatkan prestasi kukuh bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2025 dengan keuntungan bersih sebanyak RM382.2 juta, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Ia turut melakar kejayaan penting apabila jumlah aset keseluruhan meningkat kepada RM102.7 bilion setakat akhir September 2025, melepasi sasaran pelan strategik LEAP25 untuk mencapai RM100 bilion menjelang Disember tahun ini.

Peningkatan 9.6 peratus tahun ke tahun itu didorong oleh pertumbuhan pembiayaan serta pelaburan dalam sekuriti, sekali gus meletakkan nilai aset bersih sesaham pada RM3.55.

Bank Islam turut merekodkan pertumbuhan pembiayaan kasar sebanyak 7.2 peratus kepada RM73.4 bilion, dipacu oleh prestasi kukuh segmen perbankan runcit dan perbankan institusi masing-masing pada kadar 5.1 peratus dan 15 peratus tahun ke tahun.

Pada masa sama, deposit pelanggan dan akaun pelaburan meningkat 6.9 peratus kepada RM83.8 bilion.

Komposisi akaun semasa, simpanan dan akaun pelaburan transaksi (CASATIA) kekal sihat pada 35.8 peratus, mewakili RM30 bilion setakat akhir September 2025, selain menjana pendapatan bersih RM2 bilion, meningkat 9.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disumbangkan oleh lonjakan 74.3 peratus pendapatan berasaskan bukan pembiayaan kepada RM451.7 juta, manakala pendapatan berasaskan pembiayaan bersih kekal stabil pada RM1.6 bilion walaupun terkesan oleh pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, berkata bank itu berjaya mengekalkan ketahanan operasi melalui transformasi dalaman, pematuhan Syariah yang kukuh serta fokus terhadap penciptaan nilai mampan untuk pelanggan dan pemegang saham.

"Komitmen bank terhadap nilai ESG, inovasi dan kewangan sosial Islam menjadi pemacu utama dalam memperkukuh daya saing, seiring aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026," katanya dalam satu kenyataan.

Setakat 30 September 2025, nisbah pembiayaan terjejas kasar Bank Islam kekal rendah pada 1.04 peratus, di bawah purata industri sebanyak 1.41 peratus.

Kedudukan modal kumpulan juga kukuh dengan nisbah modal keseluruhan 20.3 peratus.

Related Articles