World

Kestabilan politik Sabah penentu hala tuju ekonomi Malaysia, keyakinan pelabur - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kestabilan politik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai faktor kritikal yang mampu mempengaruhi sentimen pasaran dan hala tuju ekonomi Malaysia secara keseluruhan, memandangkan negeri itu menjadi antara pemacu utama sektor strategik negara, demikian menurut penganalisis. Sabah menyumbang nilai besar kepada rantaian ekonomi nasional, merangkumi minyak dan...

Kestabilan politik Sabah penentu hala tuju ekonomi Malaysia, keyakinan pelabur - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kestabilan politik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai faktor kritikal yang mampu mempengaruhi sentimen pasaran dan hala tuju ekonomi Malaysia secara keseluruhan, memandangkan negeri itu menjadi antara pemacu utama sektor strategik negara, demikian menurut penganalisis.

Sabah menyumbang nilai besar kepada rantaian ekonomi nasional, merangkumi minyak dan gas (O&G), perladangan, tenaga serta pelancongan sekali gus, menjadikan kestabilan pentadbiran selepas PRN sebagai komponen penting dalam menentukan hala tuju pelaburan domestik dan asing.

Sehubungan itu, sebarang ketidaktentuan politik bukan sahaja memberi kesan langsung kepada negeri, tetapi turut mencipta risiko limpahan terhadap persepsi pelabur terhadap Malaysia.

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim, berkata pelabur menilai kestabilan kerajaan negeri sebagai indikator utama terhadap kemampuan Sabah untuk mengekalkan dasar yang boleh dijangka, memastikan kelangsungan projek strategik serta mengekalkan hubungan kukuh dengan kerajaan Persekutuan.

"Jika Sabah keluar daripada PRN dengan pentadbiran yang stabil, mesej yang dihantar kepada pasaran ialah dasar negeri boleh dijangka, projek mega boleh diteruskan dan hubungan negeri dan Persekutuan kukuh. Ini mengurangkan premium risiko pelaburan serta mengukuhkan keyakinan terhadap projek jangka panjang," katanya kepada BH.

Amir Fareed berkata, pelabur, baik syarikat domestik mahupun multinasional, tidak hanya melihat siapa membentuk kerajaan, tetapi juga kemampuan pentadbiran itu bertahan dan melaksanakan dasar tanpa gangguan politik.

Dalam situasi sebaliknya, beliau menjelaskan, ketidaktentuan politik mewujudkan persepsi bahawa Sabah kekal berada dalam kitaran tidak stabil, sekali gus menangguhkan keputusan pelaburan bernilai tinggi.

"Projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo, naik taraf pelabuhan dan grid tenaga memerlukan keputusan cepat serta koordinasi rapat antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Apabila politik tidak stabil, keputusan ditangguh dan kos meningkat," katanya.

Amir Fareed turut memberi amaran bahawa ketidakstabilan politik berlarutan di Sabah boleh mencetuskan implikasi lebih besar kepada Malaysia, termasuk sentimen pasaran kewangan dan kekuatan ringgit.

"Jika Sabah dilihat sebagai titik lemah dalam landskap politik negara, ringgit boleh terkesan melalui peningkatan premium risiko. Bagi pelaburan langsung asing (FDI) pula, pelabur serantau cenderung mengalihkan pelaburan ke negeri lain atau lebih malang lagi ke negara yang menawarkan kestabilan lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman berpandangan, kestabilan politik Sabah bakal menentukan sama ada negeri itu muncul sebagai pemangkin ekonomi nasional atau sebaliknya menjadi titik kelemahan dalam strategi pelaburan negara.

Katanya, sekiranya PRN melahirkan kerajaan negeri yang stabil, mampu bekerjasama rapat dengan Putrajaya dan mengekalkan dasar mesra pelaburan, Sabah berpotensi menjadi pemangkin penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport dan naratif pelaburan Malaysia.

"Kekuatan Sabah dalam O&G, tenaga baharu, pelancongan dan sawit memberi kelebihan kompetitif besar, dan kestabilan adalah syarat utama untuk memaksimumkan potensi itu," katanya.

Samirul menegaskan, episod ketidakstabilan seperti 'dewan tergantung', lompat parti atau pertukaran Ketua Menteri berulang selepas PRN berisiko menjejaskan prospek makro Malaysia.

"Jika projek tenaga, pelabuhan, industri dan pelancongan tergendala akibat politik, pertumbuhan jangka sederhana Malaysia akan lebih rendah berbanding senario Sabah stabil," katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa ketidaktentuan di Sabah boleh memberi tekanan tambahan kepada ringgit kerana pelabur sangat peka kepada risiko politik dan dasar.

Related Articles