Technology

PETRONAS perkukuh kedudukan di Suriname dengan dua kontrak baharu

KUALA LUMPUR: PETRONAS menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Suriname E&P B.V. (PSEPBV), menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok 9 dan Blok 10 yang terletak di perairan cetek luar pesisir Suriname. Perjanjian itu dimeterai bersama Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie), Paradise Oil Company N.V. (POC) serta rakan konsortium Chevron...

PETRONAS perkukuh kedudukan di Suriname dengan dua kontrak baharu

KUALA LUMPUR: PETRONAS menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Suriname E&P B.V. (PSEPBV), menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok 9 dan Blok 10 yang terletak di perairan cetek luar pesisir Suriname.

Perjanjian itu dimeterai bersama Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie), Paradise Oil Company N.V. (POC) serta rakan konsortium Chevron Suriname Exploration Limited (Chevron) dan QatarEnergy International E&P LLC (QatarEnergy).

Dalam satu kenyataan, PETRONAS berkata, penganugerahan PSC berkenaan dibuat susulan kejayaan bidaan konsortium berkenaan dalam Pusingan Bidaan Pasca Perairan Cetek Suriname 2 bagi tahun 2024-2025.

"Langkah ini menandakan satu pencapaian penting dalam strategi pengembangan PETRONAS di Lembangan Suriname-Guyana, yang diiktiraf sebagai antara wilayah dengan potensi hidrokarbon paling tinggi di dunia.

"Kedua-dua blok berkenaan meliputi kawasan seluas kira-kira 5,456 kilometer persegi, terletak secara strategik antara kawasan pengeluaran darat dan penemuan telaga laut dalam yang telah terbukti," katanya.

Di bawah terma PSC, PETRONAS memegang 30 peratus kepentingan penyertaan dan bertindak sebagai pengendali bagi Blok 9, manakala Chevron dan QatarEnergy masing-masing memegang 20 peratus, serta POC sebanyak 30 peratus.

Bagi Blok 10, PETRONAS turut memiliki 30 peratus kepentingan penyertaan, dengan Chevron sebagai pengendali (30 peratus), QatarEnergy (30 peratus) dan POC (10 peratus).

Majlis menandatangani PSC berkenan berlangsung di Paramaribo, Suriname, dengan PETRONAS diwakili Pengerusi Negara PSEPBV, Danny Tan Chern Han.

Staatsolie pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Annand Jagesar; manakala Chevron diwakili Pengarah Eksplorasi Sempadan, Andrew Deighan.

QatarEnergy diwakili Pengurus Huluan & Eksplorasi Antarabangsa, Ali Al-Mana; manakala POC diwakili oleh Pengarahnya, Rekha Bissumbhar.

Naib Presiden Eksplorasi PETRONAS, Faisal Bakar, berkata syarikat minyak negara komited memperkukuh kehadirannya di Suriname dan berterima kasih kepada Staatsolie serta Kerajaan Republik Suriname atas sokongan berterusan mereka.

"Berdasarkan kejayaan sebelum ini dan aspirasi kami untuk terus berkembang di negara ini, kami kini bersedia melaksanakan aktiviti eksplorasi baharu.

"Peluasan ke Blok 9 dan 10 mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi luar pesisir Suriname, serta komitmen untuk mencipta nilai mampan bagi manfaat negara dan rakyatnya," katanya

PSC yang dimeterai turut merangkumi inisiatif penyertaan tenaga kerja tempatan dan pelaburan sosial, sejajar dengan komitmen PETRONAS terhadap pembangunan tenaga yang bertanggungjawab serta selaras dengan matlamat nasional Suriname.

Dengan tambahan Blok 9 dan Blok 10, selain perjanjian Blok 66 yang ditandatangani pada Jun 2025, PETRONAS kini memiliki kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname.

Langkah itu memperkukuh lagi jejaknya dalam landskap eksplorasi luar pesisir negara berkenaan, sekali gus memantapkan kedudukan PETRONAS sebagai pemain tenaga global yang berdaya saing.

Related Articles