Articles by AGENSI

2 articles found

Pengarah Miss Universe Thailand mohon maaf selepas kontroversi hina peserta
Technology

Pengarah Miss Universe Thailand mohon maaf selepas kontroversi hina peserta

BANGKOK: Pengarah Miss Universe Thailand, Nawat Itsaragrisil, tampil memohon maaf susulan insiden memarahi peserta Miss Universe 2025, termasuk menegur wakil Mexico, Fatima Bosch, kerana tidak memuat naik bahan promosi berkaitan Thailand di media sosial. Kejadian yang berlaku Selasa lalu itu mencetuskan kemarahan antarabangsa selepas rakaman video menunjukkan Nawat, 60, berkata: "Jika kamu ikut arahan pengarah negara kamu, kamu bodoh." Presiden Pertubuhan Miss Universe, Raul Rocha, mengecam tindakan Nawat dan memaklumkan pihaknya akan menyekat pembabitan Nawat dalam acara berkaitan pertandingan tahun ini. Semalam, ketika majlis sambutan rasmi Miss Universe 2025, Nawat tampil memohon maaf secara terbuka, dengan menyatakan beliau berdepan tekanan besar ketika kejadian berlaku. "Saya manusia biasa. Kadang-kadang saya tidak dapat mengawal emosi. Namun, saya tidak berniat untuk menyakiti sesiapa kerana saya menghormati anda semua. "Saya benar-benar minta maaf atas apa yang berlaku," katanya sambil tunduk hormat ke arah semua peserta. Dalam sidang media berasingan, Nawat bagaimanapun menafikan menggunakan perkataan bodoh, sebaliknya mendakwa beliau menyebut perkataan 'damage' (rosak). "Saya tidak pernah sebut 'bodoh' walau sesaat. Saya kata 'damage' – maksudnya jika Bosch percaya dan mengikut arahan pengarah negaranya, itu akan membawa kerosakan," jelasnya.

Sekurang-kurangnya 24 maut dalam acara festival, tunjuk perasaan akibat serangan tentera Myanmar
Technology

Sekurang-kurangnya 24 maut dalam acara festival, tunjuk perasaan akibat serangan tentera Myanmar

YANGON: Sekurang-kurangnya 24 orang maut, manakala 47 lagi cedera ketika menyertai acara festival dan tunjuk perasaan di wilayah tengah Myanmar bagi menentang pemerintahan tentera junta. Kejadian berlaku apabila sebuah paraglider bermotor milik tentera menggugurkan dua bom ke arah orang ramai, menurut saksi kepada BBC Burmese. Serangan berlaku pada petang Isnin apabila ratusan orang berkumpul di daerah Chaung U, tengah Myanmar pada malam Isnin bagi meraikan sambutan Thadingyut. Sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan perang saudara antara pihak tentera dan kumpulan penentang bersenjata serta militia etnik, ribuan terbunuh dan jutaan lagi menjadi pelarian. Selepas kehilangan kawalan ke atas lebih separuh wilayah negara itu, pihak tentera kini kembali memperoleh semula pengaruh melalui kempen serangan udara dan pengeboman. Serangan pada Isnin itu hanyalah satu daripada ratusan serangan udara yang dilancarkan oleh angkatan bersenjata Myanmar sepanjang tahun ini. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tentera junta turut memperkukuh keupayaan angkatan udaranya dengan memperoleh dron baharu dari China yang kini menyokong penuh kerajaan tentera, selain bantuan teknikal daripada Russia. Perkembangan itu ditambah pula dengan tekanan yang dikenakan oleh Beijing terhadap kumpulan pemberontak di sepanjang sempadan Myanmar supaya menghentikan penghantaran senjata kepada kumpulan penentang, mengubah keseimbangan kuasa dan memaksa kumpulan pemberontak melepaskan banyak wilayah yang mereka kuasai sejak dua tahun lalu. Serangan pada Isnin menyasarkan sebuah kawasan di wilayah Sagaing, di mana orang ramai berkumpul bagi menyambut perayaan bulan purnama Thadingyut dengan menyalakan lilin dalam satu perhimpunan aman. Perhimpunan itu dianjurkan sebagai protes terhadap pengambilan wajib tentera oleh junta serta pilihan raya umum yang bakal diadakan. Ia turut menuntut pembebasan tahanan politik termasuk Aung San Suu Kyi, pemimpin sah yang dipilih secara demokratik namun digulingkan dan dipenjarakan selepas rampasan kuasa. Wilayah Sagaing menjadi antara kawasan utama pertempuran dengan sebahagian besar kawasan dikawal oleh militia sukarela. Kumpulan itu dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) turut mentadbir pentadbiran tempatan. Seorang pegawai PDF tempatan memberitahu BBC Burmese, mereka menerima maklumat awal mengenai kemungkinan serangan udara ketika perhimpunan itu. Mereka cuba menamatkan perhimpunan dengan segera, namun paraglider atau paramotor seperti yang dikenali di kawasan itu tiba lebih awal daripada jangkaan. "Semua berlaku dalam masa tujuh minit," katanya. Beliau turut memaklumkan letupan itu mencederakan kakinya, manakala beberapa individu berhampiran terbunuh. Penduduk tempatan memaklumkan sukar untuk mengecam mayat mangsa selepas kejadian berkenaan. "Kanak-kanak hancur berkecai," kata seorang wanita yang turut membantu menganjurkan acara itu kepada agensi berita AFP. Beliau tidak berada di lokasi ketika serangan berlaku, namun hadir ke majlis pengebumian pada Selasa dan menambah bahawa mereka masih 'mengumpul cebisan mayat'.