Terkilan gambar rumah banjir disalah guna raih simpati
BALING: Seorang suri rumah di Kampung Haji Abas di sini terkilan apabila gambar rumahnya yang ditenggelami banjir digunakan individu tidak bertanggungjawab di media sosial bagi meraih simpati orang ramai. Mangsa, Nor Amirah Abdul Muin, 39, berkata dia menyedari perkara itu selepas jirannya menghantar tangkap layar satu hantaran Facebook semalam memaparkan gambar rumahnya yang digenangi air, bersama kapsyen seolah-olah meminta bantuan. "Individu tu tak tulis secara terang-terangan minta derma, tapi ayat yang dia guna macam nak raih simpati. "Dalam membalas komen pula, apabila orang tanya, dia kata dia tak ok, kekurangan duit dan lapar," katanya ketika ditemui, di rumahnya petang semalam. Nor Amirah berkata, tindakan individu berkenaan menyebabkan ramai kenalannya yang tahu rumah itu miliknya mula menghubunginya menerusi WhatsApp untuk bertanya sama ada dia benar-benar memerlukan bantuan kewangan. "Ramai sangat yang mesej, tanya saya ok ka, perlukan duit ka. Saya rasa malu, sebab selama ni walaupun rumah saya banjir berkali-kali, saya tak pernah minta sumbangan daripada sesiapa," katanya. Menurutnya, individu terbabit menggunakan akaun bukan nama sebenar dan memuat naik hantaran berkenaan ke dalam di kumpulan Facebook berkaitan bantuan mangsa banjir. "Saya tak kenal pun dia, cuma tahu abang dia orang kampung sebelah. Kami minta dia padam sebab orang dah salah faham. Bila dah ramai yang percaya, nama saya pula yang terjejas," katanya. Nor Amirah berkata, selepas ditegur, individu itu mendakwa hantaran berkenaan hanya gurauan dan menafikan berniat menipu. "Dia kata saja-saja, tapi bagi saya perkara macam tak boleh dibuat main. Orang tengah susah, ramai pula simpati, jadi tak patut guna gambar rumah kami macam tu," katanya. Ibu kepada dua anak ini berkata, individu berkenaan turut menulis komen berbaur sindiran dan provokasi selepas diminta memadam hantaran berkenaan. "Dia siap tulis dalam komen kata nak makan sup kaki. Memang melampau. Saya memang tak maafkan sebab dia hina dan buat provokasi saya macam tu," katanya. Nor Amirah menjelaskan, rumah keluarganya sering menjadi tumpuan apabila banjir melanda kerana lokasinya rendah dan mudah dinaiki air. "Tahun lalu masa saya dalam pantang pun rumah ni naik air tiga hari. "Tapi kami tak pernah minta bantuan dalam media sosial, sebab orang kampung memang saling tolong-menolong," katanya. Katanya, dia sudah berbincang dengan suami yang juga anggota polis untuk membuat laporan. "Saya memang akan buat laporan. Ini maruah keluarga saya, saya difahamkan dia dah buat permohonan maaf di Facebooknya, tapi saya tetap akan buat laporan polis supaya kejadian seperti ini tidak berulang," katanya. Amirah berkata, ketika banjir dia sekeluarga serta bapa yang uzur berlindung sementara dibekas bangsal kambing yang sudah diubah suai di depan rumahnya.