Articles by Nor Fazlina Abdul Rahim

1 article found

Lebih 3,300 hektar tanah terbiar di Kelantan dibangunkan dengan kos lebih RM26 juta
Technology

Lebih 3,300 hektar tanah terbiar di Kelantan dibangunkan dengan kos lebih RM26 juta

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersama Jabatan Pertanian membangunkan lebih 3,300 hektar tanah terbiar dengan pelbagai tanaman sejak 2006 hingga tahun lalu, membabitkan kos lebih RM26 juta. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata tanah terbiar milik sendiri atau sewaan itu dibangunkan dengan tanaman kekal seperti kelapa, durian dan limau madu selain tanaman singkat seperti sayur sayuran. "Daripada jumlah peruntukan itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan lebih RM12.6 juta meliputi pembangunan tanah terbiar seluas 2,332.57 hektar, manakala Kerajaan Persekutuan pula memperuntukkan lebih RM13.7 juta membabitkan tanah terbiar 1,000.35 hektar. "Keluasan minimum bagi mengusahakan tanah terbiar di bawah peruntukan Jabatan Pertanian adalah seluas 0.4 hektar dengan kadar peruntukan sebanyak RM25,000 bagi setiap hektar," katanya. Beliau berkata demikian menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) mengenai keluasan tanah terbiar yang dikenal pasti di Kelantan dan rancangan kerajaan negeri untuk memajukan tanah berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. Katanya, kadar insentif berkenaan meliputi infrastruktur seperti pembersihan dan penyediaan kawasan, pembelian input, mekanisasi dan peralatan pertanian, penyediaan kemudahan infrastruktur ladang yang meliputi sistem pengairan dan saliran. "Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) pula sedang membangunkan Agrovalley Rong Chenok di Pasir Mas dengan keluasan tanah lebih 109 hektar untuk menjalankan beberapa aktiviti pertanian seperti tanaman sayuran secara teknologi hidroponik, tanaman cili secara fertigasi dan pusat pembenihan ikan air tawar. "Bagi perancangan tahun 2025-2026, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah meluluskan beberapa peruntukan bagi membangunkan lagi aktiviti Pertanian di Agrovalley Rong Chenok seperti tanaman bagi sumber makanan ternakan ruminan (Napier), tanaman buah-buahan melon madu dan pisang," katanya.