Articles by Oleh: Omar Ahmad

1 article found

Dari KEJORA ke Pejabat Datuk Bandar Pasir Gudang
Technology

Dari KEJORA ke Pejabat Datuk Bandar Pasir Gudang

DATIN Paduka Hazlina Jalil mengukir sejarah tersendiri apabila diangkat sebagai Datuk Bandar wanita pertama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah pentadbiran tempatan Johor. Pelantikan bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) itu bukan sekadar simbol kejayaan wanita dalam kepemimpinan, tetapi juga manifestasi kepercayaan terhadap kemampuan dan kecekapan wanita Johor menerajui pembangunan bandar moden. Hazlina, yang mula memegang jawatan itu pada 17 Oktober lalu, berikrar untuk meneruskan legasi kecemerlangan MBPG sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang progresif, berdaya saing dan berpaksikan rakyat. "Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan komited untuk meneruskan kecemerlangan MBPG dalam membina sebuah bandar raya yang dinamik, hijau dan inklusif. "Fokus utama kami ialah memperkukuh prasarana sokongan, kemudahan logistik, pelaburan hijau serta pembangunan bandar pintar dan rendah karbon, sejajar dengan aspirasi Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ)," katanya pada sidang media selepas merasmikan JTDC Mega Kerjaya MyFutureJobs X PIS X MBPG di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang. Menurut Hazlina, pelaksanaan JS-SEZ bukan sekadar pemangkin pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memberi impak sosial dan alam sekitar yang signifikan. "MBPG komited mengekalkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian, selaras prinsip Pasir Gudang Perkasa 2030 yang menekankan tiga teras utama iaitu Bersih, Lestari dan Berdaya Huni," katanya. Pengalaman lebih 25 tahun Berpengalaman lebih 25 tahun dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS), Hazlina sebelum ini pernah menyandang pelbagai jawatan utama, termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang dan Pegawai Daerah Kota Tinggi. Mengulas mengenai pendekatannya terhadap suara rakyat, Hazlina berkata beliau terbuka terhadap pandangan masyarakat, termasuk maklum balas yang disuarakan melalui media sosial. "Setiap pandangan akan diteliti dengan terbuka. Saya ingin menjadi pemimpin wanita yang dinamik dan dekat dengan masyarakat dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara dalam merealisasikan visi Pasir Gudang Perkasa Menjelang 2030. "Matlamat kami jelas, merealisasikan misi memacu Pasir Gudang sebagai Bandar Pintar, Rendah Karbon dan Lestari menerusi kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi, industri dan komuniti, sambil memasyarakatkan sains dan menginsankan teknologi," katanya. Hazlina adalah Datuk Bandar ketiga MBPG selepas Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin menamatkan tempoh perkhidmatannya selama setahun 16 hari yang bermula pada 1 Oktober 2024 lalu.