Articles by Zuliaty Zulkiffli

2 articles found

11 warga asing ditolak kemasukan ke negara ini kerana disyaki bukan pelancong tulen
Technology

11 warga asing ditolak kemasukan ke negara ini kerana disyaki bukan pelancong tulen

BUKIT KAYU HITAM: Pihak berkuasa menolak kemasukan 11 warga asing ke negara ini semalam selepas disyaki bukan pelancong tulen dan tidak mematuhi syarat kemasukan. Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua warga asing terbabit terdiri daripada seorang lelaki warga India, dua lelaki dan dua wanita warga Thailand serta lima lelaki dan seorang wanita warga China. Beliau berkata, hasil semakan dan sesi soal siasat mendapati kesemua warga asing terbabit berusia anggaran 30-an hingga 40-an. "Mereka gagal mengemukakan alasan kukuh tujuan memasuki Malaysia dan tidak mematuhi kriteria kemasukan yang sudah pun ditetapkan. "Sehubungan itu, semua individu terbabit telah diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas juruteknik ditahan curi komponen pencawang telekomunikasi
Technology

Bekas juruteknik ditahan curi komponen pencawang telekomunikasi

KUALA NERANG: Polis menahan seorang bekas juruteknik syarikat telekomunikasi selepas disyaki mencuri komponen pencawang di dua lokasi berbeza di Kampung Musa, Mukim Pedu dekat sini. Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Abdull Razak Othman, berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di rumahnya di Pendang pada 12.30 tengah malam, 1 Oktober lalu. Beliau berkata, tangkapan suspek dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dengan kerjasama Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah selepas polis menerima laporan berhubung kejadian kecurian komponen itu selepas berlaku gangguan talian di kawasan berkenaan. "Hasil daripada tangkapan yang dilakukan itu membawa kepada rampasan beberapa komponen alat komunikasi dan pencawang yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan dua laporan polis yang diterima. "Suspek dipercayai sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Dia dipercayai melakukan kegiatan itu seorang diri menggunakan sebuah kereta Perodua Myvi milik adiknya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, di sini hari ini. Abdull Razak berkata, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek dalam melakukan kegiatan jenayah ini. Beliau berkata, susulan daripada itu, polis menahan dua lagi suspek lelaki warga tempatan yang berusia 31 dan 51 tahun yang dipercayai pembeli komponen terbabit keesokan harinya. "Hasil siasatan mendapati, hasil jualan komponen termasuk tembaga di dalamnya itu digunakan suspek untuk membeli dadah. "Berdasarkan siasatan mendapati, suspek mempunyai enam rekod lampau iaitu dua rekod jenayah berkaitan curi manakala empat rekod berkaitan dadah," katanya. Abdull Razak berkata, suspek turut melakukan kegiatan sama di daerah lain iaitu Kota Setar, Yan, Pendang dan Kuala Muda yang membabitkan kerugian lebih RM600,000 untuk tahun ini. Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu seorang diri dengan menaiki kereta dan mencari lokasi gelap dan sunyi di kawasan hujung kampung untuk mencuri komponen pencawang di kawasan itu. "Dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek, polis berjaya menyelesaikan 21 kes membabitkan kecurian komponen pencawang di lima daerah. "Untuk kecurian komponen pencawang di daerah ini saja, kerugian membabitkan RM112,000. "Turut dirampas, beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan mencuri komponen terbabit," katanya. Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan jenayah curi. Kesemua suspek kini ditahan reman di IPD Padang Terap bagi melengkapkan siasatan.