Technology

Alcaraz, Sinner rentap di final ATP

TURIN, Itali: Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner akan berdepan pada final Pusingan Akhir ATP selepas kedua-dua bintang tenis itu mara dengan mudah ke aksi penentuan gelaran awal pagi tadi. Alcaraz, yang sudah disahkan sebagai pemain nombor satu dunia hujung tahun ini, menewaskan Felix Auger-Aliassime 6-2, 6-4 untuk menempah pertembungan yang dinanti-nanti peminat tenis, selepas siri pertembungan menarik antara mereka tahun ini. Pemain Sepanyol itu kini memimpin rekod pertembungan dengan Sinner 10-5 dan sudah memenangi empat daripada lima pertemuan musim ini, semuanya pada final kejohanan utama. Alcaraz menjuarai final Terbuka AS dan Roland Garros musim ini, termasuk kebangkitan dramatik di Roland Garros daripada ketinggalan dua set dan menyelamatkan tiga mata perlawanan. Namun Sinner, yang menewaskan Alex de Minaur 7-5, 6-2 pada aksi separuh akhir, muncul pemain pertama Itali menjuarai Wimbledon selepas menundukkan Alcaraz dan mereka berkongsi empat Grand Slam musim ini. "Perlawanan ini pasti sukar. Setiap kali kami berdepan, tahap permainan kami meningkat ke tahap maksimum," kata Alcaraz di tengah gelanggang. Final awal pagi esok lebih menarik kerana Alcaraz menyingkirkan Sinner untuk mengungguli tangga teratas ranking lelaki 2025 dan beraksi pada final kali ke-11 musim ini di hadapan penyokong Itali. "Sudah tentu, orang ramai akan menyokong dia tetapi saya akan fokus sepenuhnya terhadap permainan sendiri," seloroh Alcaraz. Sinner belum dipatahkan servisnya tetapi akan berdepan cabaran lebih sukar menentang Alcaraz selepas pemain nombor dua itu meraih kemenangan ke-13 berturut-turut ke atas De Minaur. "Setiap pertembungan dengan Alcaraz berbeza. Anda lihat di Rome dan Paris, walaupun permukaan sama permainan boleh berubah," kata Sinner. "Satu lagi final, tahun yang menakjubkan buat saya. Saya tidak sabar untuk esok... juga untuk lihat tahap sebenar permainan saya sebelum musim berhenti rehat." Sinner memenangi 18 set terakhir di Turin dan juara empat gelaran Grand Slam itu kini mencatat 30 kemenangan berturut-turut di gelanggang keras dalam dewan. Pemain berusia 24 tahun itu belum tewas satu set pada Pusingan Akhir ATP sejak tewas kepada Novak Djokovic pada final 2023. – AFP

Alcaraz, Sinner rentap di final ATP

TURIN, Itali: Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner akan berdepan pada final Pusingan Akhir ATP selepas kedua-dua bintang tenis itu mara dengan mudah ke aksi penentuan gelaran awal pagi tadi.

Alcaraz, yang sudah disahkan sebagai pemain nombor satu dunia hujung tahun ini, menewaskan Felix Auger-Aliassime 6-2, 6-4 untuk menempah pertembungan yang dinanti-nanti peminat tenis, selepas siri pertembungan menarik antara mereka tahun ini.

Pemain Sepanyol itu kini memimpin rekod pertembungan dengan Sinner 10-5 dan sudah memenangi empat daripada lima pertemuan musim ini, semuanya pada final kejohanan utama.

Alcaraz menjuarai final Terbuka AS dan Roland Garros musim ini, termasuk kebangkitan dramatik di Roland Garros daripada ketinggalan dua set dan menyelamatkan tiga mata perlawanan.

Namun Sinner, yang menewaskan Alex de Minaur 7-5, 6-2 pada aksi separuh akhir, muncul pemain pertama Itali menjuarai Wimbledon selepas menundukkan Alcaraz dan mereka berkongsi empat Grand Slam musim ini.

"Perlawanan ini pasti sukar. Setiap kali kami berdepan, tahap permainan kami meningkat ke tahap maksimum," kata Alcaraz di tengah gelanggang.

Final awal pagi esok lebih menarik kerana Alcaraz menyingkirkan Sinner untuk mengungguli tangga teratas ranking lelaki 2025 dan beraksi pada final kali ke-11 musim ini di hadapan penyokong Itali.

"Sudah tentu, orang ramai akan menyokong dia tetapi saya akan fokus sepenuhnya terhadap permainan sendiri," seloroh Alcaraz.

Sinner belum dipatahkan servisnya tetapi akan berdepan cabaran lebih sukar menentang Alcaraz selepas pemain nombor dua itu meraih kemenangan ke-13 berturut-turut ke atas De Minaur.

"Setiap pertembungan dengan Alcaraz berbeza. Anda lihat di Rome dan Paris, walaupun permukaan sama permainan boleh berubah," kata Sinner.

"Satu lagi final, tahun yang menakjubkan buat saya. Saya tidak sabar untuk esok... juga untuk lihat tahap sebenar permainan saya sebelum musim berhenti rehat."

Sinner memenangi 18 set terakhir di Turin dan juara empat gelaran Grand Slam itu kini mencatat 30 kemenangan berturut-turut di gelanggang keras dalam dewan.

Pemain berusia 24 tahun itu belum tewas satu set pada Pusingan Akhir ATP sejak tewas kepada Novak Djokovic pada final 2023. – AFP

Related Articles