Articles by Rizar Mohd Noor

2 articles found

Arif Aiman wira JDT - Munoz
Technology

Arif Aiman wira JDT - Munoz

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan pemain sayap kanan, Arif Aiman Hanapi wira selepas membantu Harimau Selatan menewaskan Shanghai Shenhua FC 3-1 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, Arif Aiman menunjukkan kematangan dan membuatkan pertahanan skuad kendalian Leonid Slutskiy tergamam dengan kelicikannya. "Malam ini (malam tadi) Arif dan pemain lain memiliki persefahaman yang baik, dia begitu berani beraksi di peringkat tertinggi Asia dan membuktikan kredibiliti sebagai pemain serba boleh tetapi apa yang diutamakan adalah bermain secara berpasukan. "Arif juga memahami kehendak saya dalam perancangan taktikal dan walaupun tidak jaringkan gol namun dua bantuan jaringan yang dilakukannya sudah memadai. "Nasihat saya kepada Arif untuk kekalkan momentum permainan, jangan putus asa walaupun tidak menjaringkan gol selepas satu percubaannya hanya sipi dari gawang gol. Tetapi kesungguhannya dalam perlawanan itu amat dihargai dan saya anggap dia wira JDT," katanya. Pada aksi berkenaan, Jonathan Silva muncul wira Harimau Selatan selepas meledak dua gol, manakala satu lagi disumbangkan pemain import Sepanyol, Oscar Arribas manakala Saulo Mineiro menjaringkan gol tunggal pelawat menerusi sepakan penalti. Munoz bagaimanapun terpaksa melupakan khidmat Ager Aketxe yang terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya dua minggu selepas mengalami kecederaan pada minit ke-19. "Apabila Ager cedera, saya memasukkan Afiq (Fazail) dan mengubah formasi permainan kepada 4-4-2 dan mengekalkan insentisi permainan dengan bergerak dari posisi sayap kiri dan kanan. Kesannya kami mengawal permainan mengikut formasi yang dibentuk. "Apapun saingan masih panjang, perebutan slot lapan pasukan terbaik masih terbuka dan aksi seterusnya kami akan berdepan Melbourne City FC yang mula menunjukkan peningkatan mendadak," ujar Munoz.

'Nombor 42 memusnahkan kami lagi malam ini'
Technology

'Nombor 42 memusnahkan kami lagi malam ini'

JOHOR BAHRU: Pengendali Shanghai Shenhua FC, Leonid Slutskiy tidak menyembunyi kekecewaannya apabila misi untuk membawa pulang tiga mata musnah selepas tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. Malah bekas jurulatih CSKA Moscow dan Hull City itu menegaskan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi bagaikan duri dalam daging pada pertembungan itu selepas dua daripada tiga yang dijaringkan skuad kendalian Xisco Munoz berpunca daripada kelicikan pemain itu. "Gol pertama JDT bukan sebab kami hilang fokus, sebaliknya pemain bernombor 42 (Arif Aiman) begitu licik dengan keupayaan membelah benteng kami dan melakukan umpanan yang menghasilkan gol buat JDT. "Dia pernah memusnahkan kami musim lalu dan malam ini (malam tadi) dia lakukan lagi manakala benteng kami terlalu memberi ruang untuk dia bergerak bebas dan bijak untuk mengatasi pertembungan satu lawan satu. "Dia pandai mengambil kesempatan daripada kesilapan pemain kami dan dia memang memiliki skil yang tinggi. Kami dihukum kerana gagal menghalangnya," katanya. Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Russia itu menegaskan pemainnya sudah bermain secara kompak namun gaya permainan yang diperagakan terlalu perlahan hingga gagal mengimbangi kekuatan lawan. "Bukan kami tidak boleh jaringkan gol, sebaliknya dua gol yang kami jaringkan dibatalkan oleh pengadil dan ada ketikanya kami mampu mencemaskan benteng JDT, tapi gagal menyudahkan percubaan yang dimiliki," katanya. Pada aksi berkenaan, Jonathan Silva muncul wira Harimau Selatan selepas meledak dua gol, manakala satu lagi disumbangkan pemain import Sepanyol, Oscar Arribas manakala Saulo Mineiro menjaringkan gol tunggal pelawat menerusi sepakan penalti.